Amanat Menteri Pendidikan Malaysia 2019 yang disampaikan oleh YB Dr. Maszlee Malik telah mengenalpasti hala tuju mengembalikan kewibawaan pengajian tinggi di Malaysia melalui empat tunjang utama iaitu: kualiti, autonomi, kolaborasi dan pengantarabangsaan. Aspek kualiti pengajian tinggi yang ditekankan merangkumi kecemerlangan, relevan dan keberkesanan universiti melalui akspek berikut: budaya keilmuan, penekanan terhadap penyelidikan yang membantu menyelesaikan masalah, perolehan geran berbentuk pemindahan ilmu, memupuk amalan etika dan profesionalisme, pembangunan kerjaya ahli akademik, serta hasrat menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan antarabangsa. Pemberian autonomi kepada institusi pengajian tinggi akan dimantapkan melalui petunjuk prestasi (KPI) yang bertepatan, serta pengkelasan universiti mengikut kluster bagi mewujudkan sinergi dan kolaborasi.  Kolaborasi pintar di antara universiti dan pemegang taruh seperti industri, agensi kerajaan, masyarakat, alumni, sekolah dan lain-lain sangat digalakkan bagi memastikan hala tuju pengajian tinggi dapat bergerak seiring dengan matlamat pendidikan negara. Agenda pengantarabangsaan melalui strategi penjenamaan dan kedudukan strategik akan memastikan pengajian tinggi Malaysia menjadi rujukan antarabangsa. Kepakaran dan kesarjanaan ahli akademik akan diserlahkan melalui platform wacana akademik yang intelektual, mobiliti akademik dalam dan luar negara, serta penghasilan karya akademik yang bermutu tinggi.

Hala tuju pengajian tinggi 2019 ini seiring dengan hala tuju semasa Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang sentiasa menitikberatkan kualiti, kecemerlangan, kolaborasi dan pengantarabangsaan. Dalam merancang hala tuju jangka panjang, Pusat Perancangan dan Maklumat Strategik UiTM akan terus memantapkan kewibawaan pengajian tinggi, agar UiTM kekal menjadi gedung ilmu yang berteraskan kesarjanaan, kecendiakiawanan yang akan diterjemahkan kepada pelajar, industri dan masyarakat untuk dimanfaatkan bersama. Melalui pendidikan yang cemerlang, minda masyarakat akan lebih berkembang, dan negara akan bertambah maju dengan seimbang. Justeru, UiTM dan CSPI akan terus menggalas hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia dalam merialisasikan aspirasi kewibawaan pengajian tinggi negara.

Berikut adalah senarai dokumen sebagai rujukan dan panduan:

Ringkasan Amanat Tahun Baharu Menteri Pendidikan Malaysia 2019

Slaid Amanat Tahun Baharu Menteri Pendidikan Malaysia 2019 

Teks Ucapan Amanat Tahun Baharu Menteri Pendidikan Malaysia 2019

Video Rakaman Amanat Tahun Baharu Menteri Pendidikan Malaysia 2019

 

Pin It