Laporan Kajian IMPAK UiTM 2006 Kampus SHAH ALAM

Laporan Kajian IMPAK UiTM 2006 Kampus SHAH ALAM

Abstrak


Kajian Impak UiTM 2006 bertujuan untuk menilai impak kewujudan UiTM di Shah Alam bagi tahun berkenaan. Ia menggunakan pendekatan menganggar kesan ekonomik dalam nilai ringgit. Secara asasnya, kaedah ini menjejaki corak perbelanjaan sesebuah sektor terpilih yang wujud dalam sesebuah wilayah dengan mengambilkira bagaimana keewangan yang diterima (input) oleh sektor tersebut dibelanjakan untuk menghasilkan output akhirnya. Dalam kajian ini, sektor yang terpilih untuk dikaji impaknya ialah sektor pendidikan tinggi, manakala wilayah yang ditentukan ialah kawasan lingkungan jejari 5 km dari kampus UiTM Shah Alam. Sektor-sektor yang berkaitan dengan pendidikan tinggi ini dikenalpasti kewujudannya di Shah Alam menerusi pendapat pakar serta berpandukan senarai sektor utama di Malaysia yang diperolehi dari Jabatan Statistik Malaysia dan dibandingkan dengan senarai 94 sektor di dalam Jadual Input-Output Malaysia yang dikeluarkan pada tahun 2000. Dalam sesebuah wilayah yang dikenalpasti, semua sektor ekonomi yang wujud dianggap saling bergantungan antara satu sama lain. Darjah kebergantungan itu ditentukan menerusi peratus input dan output setiap sektor berbanding keseluruhan setiap satu input dan output tersebut. Input yang diterima oleh sesebuah sektor boleh datang daripada pelbagai sektor ekonomi lain yang wujud dalam wilayah itu, manakala dalam proses menghasilkan output akhir sektor berkenaan, pelbagai sektor ekonomi tadi itu juga turut menerima hasil perantaraan. Nilai input dan output perantaraan setiap sektor itu dianggarkan dalam ringgit. Kaedah untuk menganggarkan agihan input dan output setiap sektor ekonomik yang berkaitan ini dipanggil teknik I-O yang diperkenalkan oleh Leontief. Dalam kajian ini wilayah yang dikenalpasti ialah kawasan yang diliputi oleh jejari 5 km daripada kampus UiTM Shah Alam.

Date

13 February 2017

Tags

Impact Study